Di Kampung Rumpun Makmur telah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas termasuklah tenaga elektrik, saluran air bersih, sekolah, klinik dan lain-lain. Kemudahan ini disediakan bagi memudahkan komuniti setempat menguruskan aktiviti harian mereka.
Malah pembinaan Jambatan Kuala Krau yang menjadi impian penduduk di pinggir Sungai Pahang di sini, akhirnya menjadi kenyataan sejak tahun lalu apabila ianya siap dibina dan mula digunakan. Pembinaan jambatan sepanjang 490 meter dan lebar 13.9 meter dengan menelan belanja RM64 juta, bakal menghidupkan kegiatan sosio-ekonomi, sosial dan prasarana kawasan sekitar.
Lebih penting lagi, jambatan tersebut dapat memendekkan laluan Temerloh-Jerantut dan Rumpun Makmur-Gunung Senyum, Jengka kepada kira-kira 20 minit berbanding sejam sebelum ini. Pembukaan jambatan itu telah memberi kemudahan perhubungan kepada lebih 60,000 penduduk di kawasan sekitar.
Terbaru, sehubungan dengan projek Kampung WiFi, 300 buah kampung di Pahang bakal menerima kemudahan tersebut menjelang akhir tahun ini. 863 menara komunikasi akan dibina secara berperingkat untuk merealisasikan projek ini. Ini termasuklah DUN Kerdau yang telah dikenal pasti akan dijadikan Kampung WiFi, sebanyak 11 buah kampung dalam DUN ini bakal menerima kemudahan tersebut.